Wednesday, September 9, 2009


Alhamdulillah, saya sempat mengikuti perkembangan Ceramah Perdana Pakatan Rakyat yang berlangsung di Parit Sulong, Johor baru-baru ini.

Antara ucapan dan amanat dasar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah beliau telah menyatakan janji bahawa akan menyerang Johor habis-habisan dan dalam setiap jelajahnya ke Johor, beliau akan jelas nyatakan pendiriannya itu, demi merealisasikan impian untuk menakluk negeri Johor sebagai negeri ke-6 ditawan Pakatan Rakyat.


Saya merasakan ucapan DSAI kali ini penuh kelainannya. Berbeza sewaktu di Permatang Pasir dan di bandar-bandar di mana dia lebih menggunakan bahasa-bahasa moden dan mengungkapkan kata-kata ahli falsafah Barat, kali ini dia mengungkap pula kata-kata pujangga Jawa, Ronggo Warsito, sesuai dengan masyarakat Johor sendiri yang rata-ratanya keturunan berdarah Jawa.


Umum mengetahui, Ronggo Warsito ini adalah seorang pujangga besar Jawa yang lahir di abad ke 17 , sewaktu penjajahan Belanda. Beliau pernah berbakti kepada keraton Surakarta dan dikenali sebagai seorang peramal yang ulung di zamannya. Sepanjang hayatnya, beliau juga sempat menerbitkan beberapa karya yang hebat. Antaranya ialah Serat Keladita, yang menjadi asas penyebaran semangat penentangan terhadap penjajahan Belanda di Indonesia.

Memetik dari karya beliau Serat Keladita, Ronggo Warsito telah mengatakan,

“amenangi jaman édan,

éwuhaya ing pambudi,

mélu ngédan nora tahan,

yén tan mélu anglakoni,

boya keduman mélik,

kaliren wekasanipun,

ndilalah kersa Allah,

begja-begjaning kang lali,

luwih begja kang éling klawan waspada.”

Dan terjemahannya sebagai berikut:

menyaksikan zaman gila,

serba susah dalam bertindak,

ikut gila tidak akan tahan,

tapi kalau tidak mengikuti (gila),

tidak akan mendapat bagian,

kelaparan pada akhirnya,

namun telah menjadi kehendak Allah,

sebahagia-bahagianya orang yang lalai,

akan lebih bahagia orang yang tetap ingat dan waspada.


Nyata, hasil tulisan , Ronggo Warsito masih releven di zaman ini. Zaman yang penuh pancaroba dan juga fitnah. Begitu banyak propaganda dan penipuan-penipuan yang "dimuntahkan" kepada masyarakat sehingga yang benar itu jadi salah, yang salah itu jadi benar.

Sebagai Muslim, kita harus sentiasa ingat pesanan Nabi Muhammad s.a.w. di dalam sebuah hadis: "Aku tinggalkan kepadamu dua perkara. Barangsiapa berpegang kepada kedua-duanya, maka tidak akan sesat selama-lamanya, Kitabullah dan Sunnahku."


Para reformis dan pejuang keadilan sosial sekalian,


Biar kita hidup dalam keadaan ingat dan waspada, jangan hidup dalam keadaan lalai dan gila. Banyak yang akan meninggalkan kita. Banyak yang akan berkata-kata. Berbagai hujah, berbagai alasan yang mereka akan beri untuk mencela. "Gila", "Bodoh", "Sesat", "Munafiq", "Pengkhianat" adalah label-label yang biasa mereka gunakan untuk kita supaya kita patah semangat dan merasa hiba. Mereka akan berasa gembira dan puas hati tatkala memaki.

Sebagai anak muda, kita harus terus berjuang dengan cita-cita untuk memerdekakan bangsa daripada imperialisma dan exploitasi manusia. Jasad muda dan darah muda hanya seketika. Allah S.W.T. akan mengambilnya satu ketika kelak. Jangan dipersia-siakan peluang sekali dalam hidup ini. Dan jangan pula, kita menjadi orang tua dalam jasad muda. Malulah kita sekiranya sebagai orang muda, tidak mempunyai impian dan idealisma perjuangan.

Maka ingatlah pesanan Nabi s.a.w dan janganlah kita menjadi orang yang lalai dan leka..


Insyallah.


No comments:

Post a Comment